Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Tuesday 4 June 2013

Menghayati Peristiwa Penting Sebelum Negara Kita Mencapai Kemerdekaan




Rakyat Malaysia sudah sedia maklum setiap 31 ogos kita akan menyambut sambutan ulangtahun kemerdekaan negara. Sudah pastinya akan terbayang program-program yang akan dilancarkan bagi meraikan hari yang penuh bersejarah dengan mengadakan ceramah kemerdekaan, pertandingan kuiz dan puisi kemerdekaan, pidato kemerdekaan, tayangan filem bersejarah, kibaran jalur gemilang dan banyak lagi. Saat yang paling dinanti oleh kita semua adalah menunggu detik 12 malam dan pada ketika itu bergemalah di bumi bertuah ini dengan laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Begitu bersemangat generasi masa kini melaungkan perkataan tersebut mengikut gaya tersendiri sambil menghamburkan percikan bunga api ke udara tanpa mengerti bahawa percikan bunga api itu juga melambangkan percikan-percikan darah para pejuang negara yang berkorban mempertahankan tanahair pada suatu masa dahulu.

Sebagai generasi baru, kita perlu meluangkan sedikit masa untuk ambil tahu dan ambil kisah mengenai detik-detik bersejarah atau peristiwa bersejarah sebelum negara ini benar-benar merdeka daripada penjajah. Negara kita telah melalui pelbagai peristiwa pahit manis yang amat panjang dan ia berlaku bukan setahun dua, tiga atau empat tahun tapi beratus tahun. Cuba anda bayangkan!. Marilah kita hayati peristiwa demi peristiwa yang berlaku dan kita akan dapati betapa mahalnya sebuah kemerdekaan.



Perjuangan Menentang Penjajahan Oleh Pembesar Melayu

Campurtangan British dalam hal ehwal penduduk Tanah Melayu tidak direstui menyebabkan penduduk tempatan bangkit menentang British. Dasar campur tangan British bermula di Perak melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 1874. Seorang Residen dilantik sebagai penasihat raja-raja Melayu dalam semua aspek pentadbiran kecuali perkara berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Pelaksanaan dan pengenalan peraturan baru oleh pihak British telah mencetuskan gerakan tentangan daripada penduduk tempatan. Tindakan British mengambil alih tugas pungutan cukai dan menghapuskan sistem hamba abdi yang menjadi amalan pembesar-pembesar Melayu menyebabkan timbulnya penentangan daripada pembesar Melayu seperti Datuk Maharaja Lela di Perak (juga membawa kepada pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak), Datuk Kelana di Sungai Ujong, Negeri Sembilan dan Datuk Bahaman di Pahang. Sistem pentadbiran British juga ditentang oleh pembesar-pembesar tempatan termasuk Tok Janggut, Engku Besar Jeram, Penghulu Adam, Haji Said dan Che Sahak di Kelantan dan Abdul Rahman di Terengganu. Gerakan nasionalisme bertujuan membebaskan tanah air daripada kuasa penjajah untuk membentuk suatu identiti kebangsaan yang membayangkan sifar politik dan kebudayaan tanah air.

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu
Tanah Melayu dan Singapura telah jatuh ke tangan tentera Jepun pada 15 Febuari 1942. Pendudukan Jepun berakhir pada 12 September 1945 iaitu selama lebih kurang tiga tahun setengah. Langkah awal Jepun menguasai Tanah Melayu dan pemikiran masyarakat Tanah Melayu adalah melalui propaganda atau slogan ”Asia untuk orang Asia” atau ”Semangat Asia” dan mengajak masyarakat menolak penjajahan Barat. Jepun banyak menonjolkan imej Jepun dalam pemerintahannya dan menggunakan akhbar The Syonan Times dan Fajar Asia untuk menyebarkan propagandanya. Jepun juga menyebarkan propaganda ”Kawasan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya” bagi mendapatkan sokongan daripada penduduk Tanah Melayu. Kedatangan Jepun ke Tanah Melayu adalah menggunakan jalan darat di utara Thailand memasuki Tanah Melayu secara beransur-ansur yang bermula di negeri-negeri di sebelah utara seperti Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Untuk menawan Tanah Melayu, Jepun menggunakan kapal terbang, kereta kebal, bot dan basikal. Dalam masa 10 minggu Jepun berjaya menguasai Tanah Melayu. Jepun memperkenalkan sistem pentadbiran bercorak ketenteraan dan Tanah Melayu dinamakan sebagai Malai Baru (Melayu Baru), Singapura dinamakan Syonan (Cahaya Selatan). Jepun menggabungkan Tanah Melayu dengan Sumatera di bawah satu pentadbiran pusat. Negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu diserahkan kepada Siam sebagai menghargai kerjasama mereka sebelum ini. Semasa pentadbiran Jepun, Sultan Melayu hanya menjadi ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja dan diberikan elaun. Jepun menghapuskan sekolah jenis kebangsaan dan memperkenalkan sekolah yang menggunakan bahasa Jepun iaitu Nippon-go sebagai bahasa pengantar. Pelajar sekolah juga diwajibkan menyanyi lagu kebangsaan Jepun iaitu Kimigayo. Rakyat diwajibkan belajar bahasa Jepun. Pentadbiran Jepun tidak menjaga kebajikan penduduk. Penduduk sentiasa mengalami kekurangan makanan dan barang keperluan. Penduduk Tanah Melayu disiksa, dibunuh dan dipaksa membina landasan keretapi maut.


Penentangan Orang Melayu Terhadap Malayan Union
Malayan Union yang cadangan penubuhannya pada 1 April 1946 merupakan sebuah gabungan Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat (tidak termasuk Singapura) bagi menggantikan British Malaya. Antara ciri-ciri Malayan Union adalah ia merangkumi 9 buah negeri termasuk Pulau Pinang dan Melaka, Diketuai oleh seorang Gabenor Inggeris, pusat pentadbirannya adalah di Kuala Lumpur, kuasa raja-raja Melayu dihapuskan dan pengenalan kerakyatan Jus Soli. Kerakyatan Jus Soli membawa maksud sesiapa sahaja yang berumur 18 tahun ke atas dan telah bermastautin di Tanah Melayu selama 10 tahun daripada  tempoh 15 tahun dan sesiapa sahaja yang lahir selepas penubuhan Malayan Union adalah dikira sebagai warganegara. Orang Melayu telah menentang Malayan Union kerana beberapa sebab antaranya adalah kedaulatan raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu tergugat, dan orang bukan Melayu akan mengatasi jumlah bilangan orang Melayu dan akhir sekali kebencian masyarakat Melayu kerana tindakan Mac Michael yang menggunakan ugutan untuk mendapatkan tandantangan sultan-sultan Melayu. Ketakutan orang Melayu ini telah menyebabkan mereka telah menentang secara besar-besaran dan membantah penubuhan Malayan Union. Untuk itu, pada 1-4 March 1946 satu kongres telah diadakan yang dipengerusikan  oleh Datok Onn di Kuala Lumpur untuk menggesa raja-raja Melayu agar tidak menghadiri majlis perasmian Malayan Union. Pada 1 Mei 1946, kongres Melayu yang kedua telah diadakan di Johor Bahru dan dalam kongres inilah ditubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk pelihara kepentingan Melayu.Penentangan oleh masyarakat Melayu ini menyebabkan Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Darurat
Darurat telah bermula pada tahun 1948 dan berakhir pada tahun 1960. Darurat wujud disebabkan oleh kemunculan Parti Komunis Malaya (PKM). PKM ditubuhkan di Tanah Melayu sejak tahun 1930 lagi. Tujuan penubuhannya adalah untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya.  Semasa penjajahan Jepun, PKM telah menawarkan diri untuk membantu British menentang Jepun. Untuk itu mereka menubuhkan Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) atau dalam bahasa Melayunya adalah Tentera Anti Jepun Rakyat Tanah Melayu. Bagi membantu pergerakan MPAJA, British membekalkan senjata kepada PKM melalui pasukan Force 136. Selapas pendudukan Jepun, British kembali semula ke Tanah Melayu dan meminta PKM memulangkan semua segala peralatan senjata yang diberikan dan membubarkan MPAJA. PKM tidak mahu menyerah dan menentang British.  Selain daripada PKM, antara parti lain yang berhaluan kiri yang turut diharamkan oleh British adalah Pembela Tanah Air (PETA), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Hizbul Muslimin. PKM telah bertindak untuk mempengaruhi penduduk Tanah Melayu melalui kesatuan sekerja, orang awam dan sebagainya. Mereka telah bergerak secara agresif sehingga menggunakan senjata. Kemuncak kepada penentangan ini adalah berlakunya pembunuhan seramai tiga orang pengurus ladang berbangsa Inggeris di Sungai Siput Perak pada tahun 1948. Dengan ini PKM telah diharamkan oleh kerajaan British dan kerajaan telah mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu. Salah satu gerakan yang ditubuhkan oleh PKM yang kebanyakan ahlinya terdiri dari orang Cina adalah Min Yuen. Ia berperanan untuk memberikan segala maklumat, membekalkan makanan dan ubat-ubatan kepada Komunis. Mereka telah bergerak daripada bandar sehingga ke kampung dan kawasan pedalaman Tanah Melayu.  Bagi melumpuhkan pergerakan ini, pihak kerajaan British telah memperkenalkan beberapa rancangan. Antaranya adalah pengenalan Rancangan Briggs. Di bawah rancangan ini, penduduk-penduduk Cina yang tinggal di pinggir-pinggir hutan ke kawasan penempatan yang baru bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa Komunis. Di kawasan yang baru ini ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti sekolah, hospital, elektrik dan air. Ia dinamakan kampung baru. Lain-lain langkah yang diambil oleh kerajaan British adalah mengadakan perintah berkurung, mewujudkan kawasan putih dan kawasan hitam iaitu kawasan putih adalah kawasan yang bebas dari ancaman Komunis dan kawasan hitam kawasan Komunis. Pihak British juga mengadakan sekatan jalan raya dan kawalan kampung, mewajibkan setiap orang mempunyai kad pengenalan (semua warganegara yang berumur 12 tahun diwajibkan membuat kad pengenalan), mengadakan perintah berkurung, gerakan kelaparan dilancarkan bagi melumpuhkan Komunis. Dalam hal ini, penduduk kampung baru di bawah Rancangan Briggs adalah dilarang memberikan makanan dan bekalan perubatan kepada Komunis. Seterusnya Perang Saraf juga dilancarkan bagi memantapkan lagi usaha membanteras Komunis dengan mengadakan rapat umum, menggunakan sepanduk serta kempen-kempen membanteras Komunis. Akhir sekali pihak British juga telah mewujudkan Undang-undang Darurat. Undang-undang ini menggariskan mana-mana parti politik yang bersifat radikal akan diharamkan dan sesiapa yang disyaki terlibat dengan Komunis akan ditangkap dan dibuang negara. Selain daripada itu pihak kerajaan juga melancarkan pengampunan beramai-ramai bagi menggalakkan Komunis menyerah diri. Contohnya berjuta-juta risalah telah diedarkan kepada penduduk-penduduk Tanah Melayu pada tahun 1955. Untuk menghapuskan kegiatan Komunis ini, pihak British telah meminta bantuan ketenteraan daripada beberapa buah negara seperti New Zealand, British dan Australia. Usaha terahir dilakukan oleh kerajaan Tanah Melayu bagi membanteras Komunis adalah mengadakan Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1955 di Kedah. Walau bagaimanapun, rundingan ini gagal kerana keengganan Chin Peng untuk membubarkan PKM dan tetap mahukan ia dijadikan sebagai parti politik yang sah.
Pilihanraya
Pilihanraya pertama di Tanah Melayu telah dijalankan pada tahun 1951 untuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan seterusnya pada tahun 1952 bagi Majlis Perbandaran Kuala Lumpur. Dalam pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur ini Parti Perikatan (UMNO, MCA) telah berjaya memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Pilihanraya 1952 ini telah merintis kepada pilihanraya umum pertama bagi Tanah Melayu pada 27 Julai 1955 di mana UMNO, MCA dan MIC telah bergabung dalam Perikatan dan berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.
Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957
Pada tahun 1956 ditubuhkan Suruhanjaya Reid bagi menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Ia diketuai oleh Lord Reid, Sir William McKell, Sir Ivor Jennings, dan Tuan B. Malik. Dalam menggubal undang-undang, suruhanjaya ini telah mengambil kira pandangan penduduk Tanah Melayu. Sebanyak 131 memorandum bertulis telah diterima daripada pertubuhan-pertubuhan dan orang perseorangan. Satu rang perlembagaan diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 15 Ogos 1957 dan ia mula dikuatkuasakan pada 27 Ogos 1957. Ciri-ciri penting Persekutuan Tanah Melayu 1957 ini adalah kewujudan sebuah Kerajaan Persekutuan, Ketua Negara ialah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong yang dipilih dari kalangan 9 Raja Melayu, dan berkhidmat selama 5 tahun atas nasihat Kabinet dan Majlis Raja-raja, Ketua Kerajaan ialah Perdana Menteri yang dilantik daripada parti yang mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat. Beliau akan membentuk Kabinet yang bertanggungjawab kepada Parlimen, Parlimen terdiri daripada 2 Dewan: Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ahli Dewan Rakyat dipilih oleh rakyat (melalui pilihanraya) selama 5 tahun. Sementara ahli Dewan Negara dilantik iaitu 2 orang oleh setiap Dewan Perundingan Negeri dan selebihnya (16 orang) oleh Yang Dipertuan Agong, Di peringkat Negeri, Sultan/Raja/Yang Dipertua Negeri menjadi Ketua negeri masing-masing sementara Ketua Kerajaan ialah Menteri Besar/Ketua Menteri. Ahli-ahli Majlis Perundangan Negeri dipilih oleh rakyat untuk selama 5 tahun, Pembahagian kuasa membuat undang-undang antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, kedudukan istimewa orang Melayu dikekalkan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama Islam agama rasmi dan tiga jenis kerakyatan diperkenalkan iaitu kuatkuasa undang-undang, permohonan dan naturalisasi.

Rundingan Kemerdekaan
Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai satu rombongan ke London untuk berunding dengan kerajaan Inggeris mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Hasil daripada rundingan tersebut, Perjanjian London telah ditandatangani pada 8 Feb 1956 -  Tarikh kemerdekaan bagi Tanah Melayu telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957.

Pengisytiharan Kemerdekaan
Pengisytiharan kemerdekaan berlaku pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor. Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama manakala Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan menjadi Yang diPertuan Agong. Laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! sememangnya amat bererti dan penuh bermakna kepada generasi pada ketika itu kerana pengorbanan yang telah mereka lakukan. Buat generasi kini apakah erti Merdeka! Merdeka! Merdeka! kepada mereka? Barangkali mereka harus merenung jauh ke dalam diri masing-masing, apakah sumbangan saya kepada negara?

Ini merupakan sebahagian daripada peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dan terpaksa diharungi oleh penduduk Tanah Melayu sebelum mencapai kemerdekaan. Bagi generasi baru sekarang ini, sanggupkah kita berjuang dan melakukan sesuatu atas kepentingan negara sebagaimana generasi sebelum ini. Nenek moyang kita dahulu ikhlas berjuang untuk negara tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Mereka tidak dibayar gaji dan anugerah di atas segala usaha dan perjuangan yang dilakukan dan mereka berjuang kerana kepentingan negara bukan atas kepentingan individu. Mereka juga tidak mudah terpengaruh dengan ugutan dan dakyah penjajah dan akhir sekali mereka tidak belot kepada negara dan mempunyai semangat nasionalisma yang tinggi. Bolehkah kita menjadi seperti mereka sebelum ini?

Artikel ini telah disiarkan dalam Harian Metro 22 April 2012

1 comment: