Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Monday 3 June 2013

Menjejaki Kesan Penjajahan British di Tanah Melayu




Umum menyedari bahawa Tanah Melayu telah dijajah oleh beberapa buah kuasa asing yang bermula dengan kedatangan Portugis, Belanda, British, Jepun dan British semula. Dalam hal ini apa yang kita lihat adalah penjajahan British memakan masa lebih lama berbanding dengan Portugis, Belanda dan Jepun. Penglibatan British dalam hal ehwal sosioekonomi Tanah Melayu berlaku seawal tahun 1786 dan terhenti seketika setelah penjajahan Jepun di Tanah Melayu yang bermula pada tahun 1942-1945. Setelah kekalahan Jepun, British balik semula ke Tanah Melayu pada tahun 1946 sehinggalah akhir tahun 1957 apabila pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Manakala Portugis dan Belanda pula hanya tertumpu di Melaka dan bertapak di situ dalam beberapa dekad sahaja.

Salah satu perkara yang dirasakan kurang disentuh dalam mempelajari penjajahan kuasa asing di Tanah Melayu ialah apakah kesan positif disebalik penjajahan tersebut. Ini memandangkan apa yang berlaku sama ada baik atau buruk akan tetap ada hikmah disebaliknya. Pernahkan kita memikirkan akan hal ini? Di antara kesan positif disebalik penjajahan kuasa luar ke atas Tanah Melayu pada masa dahulu adalah:

Munculnya Semangat Kebangsaan
            Semangat kebangsaan atau semangat cintakan bangsa dan negara merupakan sifat yang perlu ada dalam semua individu yang menganggap dirinya warganegara ini. Semangat ini akan terus berkembang dalam jiwa anak bangsa selagi mana ada kuasa tertentu yang cuba menganggu gugat negara, agama dan bangsanya. Dalam konteks penjajahan kuasa asing di Tanah Melayu ia telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada berkembangnya semangat nasionalisma penduduk di negara ini. Asal usul bertumbuhnya semangat ini adalah disebabkan peranan penjajah yang telah membawa masuk bangsa asing ke Tanah Melayu untuk bekerja di ladang getah dan lombong bijih timah dan juga perkembangan sistem pendidikan yang telah menyedarkan bangsa Melayu untuk bangun menentang kuasa asing yang begitu rakus menyelongkar hasil mahsul negara ini. Paling awal adalah penentangan terhadap penjajahan British oleh beberapa individu seperti Dato’ Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau, Mat Salleh, Dato’ Maharajalela dan lain-lain lagi. Peringkat kedua penentangan terhadap penjajahan British dilakukan oleh golongan yang berpendidikan agama, Melayu dan Inggeris.

Pendudukan Jepun tidak terkecuali telah menaikkan lagi semangat nasionalisma penduduk Tanah Melayu untuk menentang penjajah. Dalam hal ini, pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1942-1945 telah memberi keyakinan kepada penduduk Tanah Melayu bahawa orang Asia mampu menentang orang Barat yang dikatakan kuat dan berpengaruh. Ia juga memberi impak kepada penduduk Tanah Melayu untuk berjuang mempertahankan tanahair mereka disebabkan slogan yang dibawakan oleh tentera Jepun iaitu Asia untuk orang Asia.

Orang Melayu mula bersatu
            Tidak keterlaluan jika dikatakan penjajahan British menjadi antara faktor penting yang menyebabkan orang Melayu pada ketika itu untuk bersatu. Orang Melayu pada waktu itu tidak bergaduh atau berkonflik cuma mereka hidup secara terasing dan mengikut kenegerian. Justeru itulah dapat dilihat tertubuhnya persatuan-persatuan yang bercorak kenegerian seperti Persatuan Melayu Selangor, Persatuan Melayu Kelantan, Persatuan Melayu Perak, Persatuan Melayu Pahang dan sebagainya. Jadi, dalam hal ini, penjajahan British telah berjaya menyatupadukan seluruh penduduk Tanah Melayu. Buktinya adalah wujudnya penentangan orang Melayu secara besar-besaran terhadap pengenalan Malayan Union pada tahun 1946. Ekoran daripada inilah terbentuknya Parti UMNO pada tahun 1948 dengan nama United Malayan National Organization. 

Berkembangnya sekolah-sekolah Vernakular Melayu dan Inggeris
            Sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu, penduduk Tanah Melayu telahpun mempunyai sistem pendidikan mereka sendiri iaitu pendidikan agama dan sekolah pondok. Pada waktu itu pendidikan sekular belum diperkenalkan lagi dalam kalangan masyarakat Melayu. Setelah kedatangan penjajah British, beberapa sekolah vernacular diperkenalkan seperti penubuhan Penang Free School yang merupakan sekolah Inggeris pertama dibina di Tanah Melayu. Selain itu ada juga sekolah Melayu, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil dibina untuk kemudahan penduduk Tanah Melayu mendapatkan pendidikan. Walau bagaimanapun, kebanyakan sekolah-sekolah ini tertumpu di kawasan bandar. Manakala pendidikan tinggi bagi orang Melayu juga telah diadakan oleh pihak British iaitu MCKK atau Malay College Kuala Kangsar (khas untuk golongan aristocrat Melayu) dan MPSI atau Maktab Pendidikan Sultan Idris.
            Penubuhan Sekolah Inggeris di Tanah Melayu pada waktu itu telah memberi peluang kepada penduduk Tanah Melayu mempelajari bahasa Inggeris dan menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Selain daripada itu, British juga memperkenalkan tulisan rumi kepada penduduk Tanah Melayu selain tulisan Jawi yang digunakan oleh orang Melayu pada waktu itu.

Berkembangnya sektor kesihatan bandar dan luar bandar
            Masyarakat Melayu sebelum kedatangan penjajah British kebanyakannya mengamalkan perubatan secara tradisional dan bergantung kepada pawang atau bomoh untuk mengubati penyakit. Penjajahan British di Tanah Melayu telah memperkenalkan sistem perubatan moden dengan adanya doktor, jururawat, klinik, palang merah dan pusat-pusat kesihatan. Penubuhan pusat-pusat kesihatan pada peringkat awal adalah untuk membantu mengubati pekerja-pekerja ladang dan juga penduduk tempatan yang mengidap penyakit Malaria, beri-beri, taun dan sebagainya. Walaupun pada peringkat awal ia tidak mendapat sambutan daripada penduduk Tanah Melayu, lama-kelamaan makin ramai orang kampung telah mengunjungi dispensary atau pasukan perubatan bergerak untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan. Lama kelamaan pusat-pusat kesihatan ini telah berkembang daripada bandar ke kawasan luar bandar.

Munculnya masyarakat majmuk
            Pernahkah kita memikirkan bagaimanakah masyarakat majmuk terbentuk dan siapakah yang bertanggungjawab di atas kemunculan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini?  Jawapannya sudah tentu pihak British kerana merekalah yang memberi ruang kepada orang Cina dan India untuk berhijrah ke negara ini pada suatu masa dahulu. Pada masa itu buruh-buruh daripada China dan India di bawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di lombong bijih timah dan ladang getah kepunyaan British. Suasana politik di negara asal yang tidak menentu menyebabkan buruh Cina dan India merasa terpanggil untuk mencari rezeki di Tanah Melayu. Justeru itu, pada awal tahun 1920-an hingga 1930-an telah menyaksikan kemasukan buruh-buruh dari China dan India yang ramai ke Tanah Melayu. Bermula dari sinilah bermulanya masyarakat majmuk di Tanah Melayu dengan kehadiran orang Cina dan India yang akhirnya menjadi penduduk tetap Tanah Melayu.


Wujudnya kawasan bandar
            Masyarakat Tanah Melayu sebelum penjajahan British kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman, kampung-kampung dan juga di sepanjang sungai. Mereka menjalankan kegiatan ekonomi secukup hidup dengan bertani, menangkap ikan dan memungut hasil-hasil hutan. Kedatangan British telah mengubah lanskap atau demografi Tanah Melayu apabila wujudnya kawasan bandar akibat perkembangan pesat perlombongan bijih timah dan getah. Ekoran daripada perkembangan tersebut menyebabkan pihak British membina infrastruktur seperti kemudahan jalan raya, jalan keretapi serta pelabuhan. Kawasan ini juga dijadikan pusat pentadbiran British dengan kelengkapan telegraf, bangunan pentadbiran, sekolah dan sebagainya. Bermula dari sinilah wujudnya dua kawasan pembangunan yang berbeza di Tanah Melayu iaitu kawasan pentadbiran British menjadi bandar dan kawasan penduduk tempatan di kampung-kampung.

Tinggalan monumen bersejarah
            Kesan tidak langsung hasil penjajahan British pada masa dahulu adalah monumen atau bangunan yang menjadi kesan kepada penjajahan British di negara ini. Antara tinggalan sejarah penjajahan asing di negara ini banyak didapati di Melaka kesan pendudukan Portugis dan Belanda, dan beberapa negeri di Malaysia masih menyimpan beberapa bangunan lama penjajahan British dan Jepun. Tinggalan ini juga telah memberi sumbangan kepada pembangunan pelancongan negara dan ini secara tidak langsung juga menjadi antara asas untuk menarik pelancong luar datang ke negara ini.

Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian 15 June 2013

14 comments:

  1. terima kasih atas perkongsian ilmunya... :)

    ReplyDelete
  2. mcm mne nak buat tajuk tentang peninggalan penjajahan??
    mintak tolong bagi idea

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. bolehkah anda membantu saya dalam topic ini ( pandangan anda tentang cabaran cabaran penjajah bentuk baru dan bagaimanakah langkah yang perlu rakyat ambil bagi menghadapinya) i have no idea with this

      Delete
  4. Boleh email ke hasnah@ump.edu.my

    ReplyDelete
  5. Penjajahan British di Tanah Melayu banyak kebaikan dan keburukannya. Orang melayu mulai sedar dari tidur lena yang lama. Mereka kini perlu berhati-hati dengan kemaraan ekonomi dan tipu helah pendatang asing yang dulunya kuli di lombong bijih timah ini, Cita-cita mereka tidak lain hanya ingin menguasai setiap inci bumi kita Tanah Melayu tercinta ini.

    ReplyDelete
  6. Terima kasih atas perkongsian ilmu

    ReplyDelete
  7. Terima kasih atas perkongsian ilmu ini Puan Hasnah Hussiin..anak saya dapat menyiapkan folio sejarahnya dari sumber di sini.

    ReplyDelete
  8. Terima ksih di atas perkongsian ilmu ini. Alhamdulillah terbuka minda dalam memahami sejarah di Malaysia apabila baca tentang kedatangan British berkait dengan Sejarah di negara kita.

    ReplyDelete
  9. Terima ksih di atas perkongsian ilmu ini. Alhamdulillah terbuka minda dalam memahami sejarah di Malaysia apabila baca tentang kedatangan British berkait dengan Sejarah di negara kita.

    ReplyDelete
  10. Saya sangat berterima kasih diatas perkongsian ilmu ini.

    ReplyDelete
  11. terima kasih. Ianya sangat membantu saya dalam memahami dengan lebih jelas.

    ReplyDelete